PETALING JAYA: “Ayah tak malu untuk mengatakan benar.”
Demikian luahan pelawak dan penyanyi, Achey yang mengakui dirinya menumpang populariti anak perempuannya, Tiara Zinnirah Nasir Abdul Haq, ketika membuat ucapan ulang tahun anaknya itu.
Menerusi hantaran di Instagram, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah berkata, dia tidak malu dengan tanggapan itu, malah melihatnya sebagai satu anugerah yang tidak ternilai sebagai seorang bapa.
“Wahai Tiara yang disayangi ramai dan ada juga yang mengatakan ayah menumpang anugerah aura kamu.
“Ayah tak malu untuk mengatakan benar kerana jawapan sebaliknya akan membuatkan orang tak selesa,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Achey dan isteri mengharapkan yang terbaik agar nilai kebaikan sentiasa menjadi panduan hidup buat anak perempuan mereka itu.
“Harapan ayah, kau jadikan seluruh kehidupan kamu dengan kebaikan. Walau apa cara dan situasi sekalipun.
“Maaf kalau ayah dan mama ada tersilap corak untuk mencantikkan keperibadian kamu. Mungkin kamu yang kena lakukan sendiri untuk mencantikkan keperibadian kamu kelak,” katanya.