'Saya rasa macam tidak layak dapat lelaki sebaik Imran' - Utusan Malaysia

‘Saya rasa macam tidak layak dapat lelaki sebaik Imran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial dan isteri kepada pelakon Imran Aqil iaitu Dahlia Rizal meluahkan rasa syukur apabila ditemani suaminya sepanjang proses melahirkan dan menyifatkan suaminya seorang yang penyayang.

Dahlia atau nama sebenarnya Nur Dahlia Ahmad Rizal berkata, suaminya adalah kekuatan terbesarnya sepanjang perjalanan bersalin itu.

“Terima kasih semua atas doa dan ucapan, tetapi yang paling penting buat suami tercinta yang jadi sumber kekuatan terbesar saya sepanjang perjalanan ini.

“Dari mula konstraksi ringan sehingga teruk,s aya muntah-muntah tak berhenti sampai ambil epidural, awak sentiasa dengan saya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Tambahnya, dia seperti merasakan tidak layak dikurniakan lelaki seperti Imran sebagai suaminya.

“Saya betul-betul bersyukur dan terharu ada suami yang penyayang serta bertanggungjawab seperti Imran.

“Setiap kali solat, saya akan selalu berdoa kepada Allah SWT sebab bagi suami macam dia. Saya rasa macam tidak layak dapat lelaki sebaik ini.

“Sepanjang proses bersalin, dia langsung tidak tidur. Bila saya nampak dia tidur walaupun hanya tiga jam, hati saya rasa lega sangat,” ujarnya.

Sementara itu, pempengaruh itu berkongsi suaminya jarang menunjukkan kesedihan tetapi menangis ketika mengetahui isterinya perlu menjalani pembedahan.

“Imran ini jarang sangat hendak menangis, tapi semalam memang terlalu emosional untuk dia. Dia menangis masa kita solat berjemaah.

“Bila saya tanya “kenapa sayang”, dia jawab “Saya sedih bila teringat pengorbanan awak melahirkan anak kita”.

“Imran lagi sebak bila tahu saya kena buat pembedahan caesar dan menangis sebelum memasuki ruang bedah. Dia risau sampai langsung tidak fikir tentang makan ke apa,” katanya.

Kongsi Dahlia, dia tidak pernah melihat sisi itu daripada suaminya dan akan menghargai saat itu.

Dahlia juga mendoakan wanita di luar sana turut merasai apa yang dilaluinya.

“Saya tidak pernah nampak sisi Imran yang macam ini, rasa disayangi sedalam ini. Sumpah saya akan simpan rasa ini dalam hati sampai bila-bila.

“Saya juga doakan semua wanita yang sedang mengandung atau hendak bersalin nanti dapat rasa kasih sayang macam ini daripada pasangan mereka,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Dahlia memberi kata penghargaan kepada suaminya kerana telah menjaganya dengan baik sepanjang berada di hospital.

“Terima kasih banyak sayang sebab jaga dan sayang saya sepanjang tiga hari di hospital, sediakan tempat yang selesa dan sempat belikan kami dua kuntum bunga walaupun sibuk bekerja.

“Terima kasih juga selalu doakan kami berdua dan selalu luangkan masa bisik di telinga yang awak sayang saya sangat-sangat.

“Saya cintakan awak. Jom sama-sama jadi ibu bapa terbaik untuk anak kita,” ujarnya.

Untuk info, Dahlia dan Imran telah berkahwin pada 9 September 2023 dan menimang seorang cahaya mata perempuan bernama Yusra pada 6 Mei 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN