PUCHONG: Penyanyi, Mas Idayu, 53, meluahkan rasa kecewa terhadap sebilangan besar netizen yang membuat andaian dan telahan liar mengenai perceraiannya dengan bekas suami, Sufian Che Isa.
Pemilik nama sebenar Mas Idayu Mesnun itu berkata, tindakan pihak-pihak berkenaan yang sesuka hati membuat dakwaan mengenai perceraiannya hanya akan membawa keburukan dan mengundang padah kepada diri mereka sendiri.
“Saya tidak mahu membuka aib sebab dia (bekas suami) pernah menjadi pasangan saya. Tapi, dia sendiri yang mendedahkan kepada wartawan apabila ditanya tentang perceraian ini. Pihak Melodi tahu mengenainya pun sebab dia yang lebih dahulu membuka cerita.
“Saya cukup pelik kenapa ramai netizen membuat andaian ibarat mereka benar-benar tahu hal dalam kain saya. Sakit hati saya sebab mereka mengata saya macam-macam. Bahkan, perceraian ini adalah atas keinginan saya sendiri, kenapa pula netizen yang nak marah?
“Saya mohon kepada Allah, bersujud atas sejadah minta petunjuk sejak bulan Rejab lagi. Jadi kepada netizen yang fitnah saya, bahaya, sebab mereka tidak minta maaf kepada saya.
“Saya fikir macam mana orang-orang ini (netizen) nak minta maaf dengan saya sebab bahaya apabila mereka memandai -mandai membuat telahan, cakap saya itu dan ini,” katanya.
Mas Idayu berkata demikian pada sidang media pelancaran single terbaharunya, Air Titik Ke Batu yang dinyanyikan bersama bekas pelajar Akademi Fantasia ke-11, Farez Adnan.
Pelantun lagu Cintaku Seratus Persen itu sah bercerai dengan Sufian sekitar 4 Mac yang lalu selepas dua tahun bergelar suami isteri.
Dalam pada itu, disoal mengenai keadaan emosinya sekarang, ibu seorang cahaya mata itu mengakui gembira dan tenang selepas kembali bergelar ibu tunggal.
“Sekarang saya sangat gembira seperti dulu. Saya langsung tidak sedih dengan perceraian ini. Malah saya mengharapkan kebahagiaan untuk pihak sebelah sana.
“Cuma saya simpati dan berasa ralat kepada mereka yang sebelum ini menyokong saya dan menaja perkahwinan saya. Itu sahaja,” kongsinya lagi.
Untuk rekor, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya namun bercerai dan mempunyai seorang anak.
Mas Idayu pula pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada tahun 1997 namun bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27. – UTUSAN