Saya masih patuh syariah - Amerul Affendi

Saya masih patuh syariah – Amerul Affendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN berdendam, pelakon, Amerul Affendi sudah lama menerima ketentuan, iaitu sejak tahun 2015 lagi bahawa wajahnya tidak mungkin dapat memegang karakter hero mana-mana filem di Malaysia.

Bahkan, menurut pelakon asal Temerloh, Pahang itu lagi, namanya pernah dibuang oleh pihak produksi walaupun sekadar mahu memenuhi karakter pelakon pembantu.

Bagaimanapun, berkat kesungguhan dan bakat, Amerul Affendi berjaya memecah ‘sumpahan’ kononnya hero harus tampil bertubuh sasa, berusia muda dan berwajah jambu.

Sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, Amerul menyandang watak utama menerusi beberapa naskhah seperti Sembil9n (2019), Mencari Rahmat (2017), Prebet Sapu (2022) dan terbaharu filem 6 Jilake arahan Aziz M Osman.

Bagai ada ruang baru, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2019 itu mula melihat industri seni dan hiburan hari ini semakin terbuka. Mereka mula akur akan kearifan dan perubahan selera penonton yang lebih mengutamakan bakat berbanding rupa.

“Saya lihat industri seni semakin terbuka selepas mereka mendengar luahan kami. Seperti yang kita tengok, pelakon hari ini bukan sekadar rupa tetapi mempunyai bakat.

“Contohnya para pelakon Project High Council, mereka bukan sahaja kacak tapi memang bernilai sebagai seorang pelakon.

Mereka sanggup pergi ke kelas dahulu dan hadiri bengkel yang ada sebelum melangkahkan kaki dalam set penggambaran,” ceritanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, perubahan ini memberi sinar baharu kepada perjalanan industri seni dan filem Malaysia untuk masa akan datang.

Bukan pertama kali buka baju
Bercerita lanjut mengenai watak pahlawan Melayu bernama Kuping dalam filem 6 Jilake. Amerul mengakui sangat mencabar melakukan penggambaran di bawah terik matahari di Gopeng, Perak. Apalagi karakter Kuping berlu bersilat selain memaparkan adegan tidak berbaju.

“Waktu penggambaran berlangsung, kita tengah kemarau, maklumlah lepas musim monsun.

“Soal buka baju itu pula, saya okay sahaja sebab begitulah juga jika saya berkebun di kampung. Tapi masih menutup aurat seorang lelaki, masih patuh syariah.

“Sebelum ini pun saya pernah buka baju, ada yang tidak patuh syariah contohnya ketika berlakon cerita Bunohan,” katanya ketawa.

Dalam masa yang sama, Amerul turut berbangga kerana dipilih sendiri oleh Aziz M Osman untuk menyandang karakter watak utama.

“Saya berkali-kali juga tanya kepada abang Aziz, betulkah mahu ambil saya? Dia kata betul, skrip semua dia sudah siapkan.

“Dia banyak belajar daripada pembikin filem baru seperti Razaisyam Rashid supaya tiada banyak masalah di set penggambaran,” ceritanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN