Saya masih di sini - Nina Iskandar - Utusan Malaysia

Saya masih di sini – Nina Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah dianggap hilang, pelakon, Nina Iskandar mengakui dirinya kembali berlakon selepas lebih lima tahun tidak muncul di kaca televisyen.

Menurut Nina atau Nur Akmalina Iskandar, 34, dia berasa sedih kerana sehingga kini masih ada yang menganggapnya hilang dan menyepi dalam dunia lakonan.

“Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2018, jika hendak cakap tentang rindu, saya rindu sangat sebab itu adalah jiwa, hobi saya.

“Kadang-kadang sedih juga kerana saya rasa macam, hello, saya masih disini, tapi itulah kenyataan yang saya perlu terima bila sudah mempunyai keutamaan yang berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelakon yang berasal dari Brunei itu berkata tawaran berlakon itu ada, akan tetapi masa yang ditawarkan ketika itu tidak sesuai.

“Macam sekarang, saya tinggal di Brunei dan ada anak, saya perlu memikirkan tentang tiketnya, tempat tinggal dan kadang kadang saya tiada pilihan kerana semua tawaran datang secara tiba-tiba.

“Saya tidak boleh fikirkan diri sendiri sahaja, perkara ini perlu ada perbincangan bersama ibu bapa kerana tidak sampai hati membiarkan mereka menjaga Rizqin lama-lama.

“Masa, keadaan dan keutamaan sekarang sudah berbeza, saya tidak mahu berenggang dan perlu sentiasa ada untuk Rizqin.

Saya tidak mahu dia membesar tanpa kewujudan saya di sisinya,” katanya.

PERCAYA BAKAT DAN KREDIBILITI
Berkongsi lanjut tentang kerisauan untuk kembali berlakon, pelakon Andainya Takdir itu tidak gementar untuk kembali ke dunia lakonan kerana dia tahu kredibilitinya walaupun jumlah pengikut di media sosial tidak sebanyak artis popular lain.

“Sbelum ini saya kata, ada orang pentingkan jumlah pengikut, tapi saya mementingkan bakat. Penonton sudah tahu cara penyampaian Nina Iskandar apabila berlakon dalam sesuatu drama,” katanya.

Dalam pada itu, Nina berkongsi keterujaan dan kerinduannya dalam melakonkan watak yang sering dipukul dan dianiaya dalam sebuah drama.

“Oh bring it on! Saya rindu watak-watak seperti itu, saya juga akan melakukan sehabis baik bukannya ala kadar sahaja walaupun watak yang diberi adalah watak sampingan,” katanya.

Masih dalam fasa menyesuaikan diri sebagai pelakon, ibu tunggal dan ahli perniagaan, Nina mengakui dirinya masih terbuka untuk berlakon namun akan menjadi selektif dalam pemilihan watak.
“Saya masih terbuka dengan tawaran berlakon, tapi mungkin akan lebih memilih dengan watak yang ditawarkan.

“Sebelum ini saya selalu memainkan watak utama, ia memerlukan 100 peratus komitmen dan kadang-kadang sehingga 14 ke 16 jam sehari saya berlakon.

“Saya terpaksa korbankan waktu tidur, waktu bersama keluarga lebih-lebih lagi bila berlakon di Malaysia, tak balik Brunei beberapa bulan, saya akan rindu dengan keluarga saya.” ujarnya.

SKANDARL BEAUTY
Dalam pada itu, Nina kini bergelar seorang usahawan dan tampil dengan sebuah jenama kecantikan, Skandarl Beauty sekali gus menjadi duta kepada produknya.

Baru-baru ini, pelakon berasal daripada Brunei itu telah terbang ke Malaysia bagi memper­kenalkan serum bibir berwarna sebagai produk sulungnya.

“Skandarl adalah hadiah kecil dari hati saya untuk semua wanita yang terlupa bahawa betapa cantik dan indahnya diri mereka. Saya juga pernah berada di tempat itu,” katanya.

Nina menjadikan pengasas jenama antarabangsa sebagai sumber inspirasinya dan yakin dirinya juga mampu untuk jadi seperti mereka.

“Inspirasi saya adalah daripada jenama-jenama besar antarabangsa, yang mana di belakangnya adalah seorang wanita.

“Saya percaya jika mereka boleh lakukan, maka saya juga boleh buat perkara yang sama.

“Serum bibir ini bukan hanya untuk kecantikan semata-mata tetapi juga adalah produk penjagaan bibir.

“Saya lihat kebanyakan bibir para wanita di luar sana tidak begitu baik kerana mereka suka memakai gincu dan lipmatte, tetapi tidak menggunakan produk untuk merawat bibir mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN