LANGKAWI: “Penduduk tempatan terkejut sebab tidak pernah ada pameran seperti ini sampaikan dalam surat khabar dilaporkan ayam mati satu reban akibat gegaran bunyi pesawat.”
Demikian antara nostalgia yang masih diingati pengasas Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Datuk Mohammed Radzi Manan (gambar) ketika edisi sulung acara itu dianjurkan pada 1991.
Katanya, majoriti penduduk Langkawi ketika itu tidak pernah berdepan suasana sedemikian, sehinggakan terdapat lembu dan kerbau menjadi tidak tentu arah dengan berkeliaran ke sana sini.
“Pada edisi 1993 dua tahun kemudian, insiden itu tidak berulang lagi mungkin sudah pesan kepada anak-anak cucu untuk bersedia,” katanya secara berseloroh kepada Utusan Malaysia.
LIMA merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memasuki edisi ke-17 tahun ini dan merupakan pameran udara dwi tahunan terbesar di dunia.
Mohammed Radzi berkata, banyak perkara yang perlu dipelajari ketika mula-mula diberi tanggungjawab untuk mengendalikan LIMA termasuk berkunjung ke pameran udara di negara lain.
“Saya pergi dari satu bandar ke bandar lain yang ada menganjurkan pameran udara seperti Paris Air Show, Farnborough International Airshow dan beberapa lagi.
“Saya ke pameran-pameran udara ini untuk persediaan penganjuran LIMA. Saya perkenalkan diri dan beritahu hendak buat LIMA, mereka terkejut dan berkata bukankah tempat itu terletak di Peru?,” katanya. – UTUSAN