Dramatik dalam rona hitam

Dramatik dalam rona hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya sentiasa teruja melihat persembahan pereka muda kerana mereka berani mencabar norma, mencipta dengan jiwa dan mengangkat naratif yang segar. Bagi saya, mereka bukan sekadar pelapis, tetapi suara masa depan fesyen Malaysia.

Minggu ini, saya ingin memperkenalkan bintang baharu yang berjaya mencuri perhatian dengan keanggunan dan ketelitian rekaannya iaitu Durrani Zul Zaidi yang merupakan graduan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Koleksi akhir tahunnya bukan sekadar koleksi pakaian tetapi tafsiran semula kepada Swan Lake karya Tchaikovsky, satu lagenda balet yang menjadi simbol transformasi dan keindahan penuh emosi.

Tetapi Durrani melakukannya dengan cara yang unik dan berani.

Bukan dengan tulle atau satin putih melambai-lambai seperti kebiasaan. Sebaliknya, dia membawa kita ke sisi lain Tasik Angsa, iaitu sisi yang lebih gelap, misteri namun mempesona.

Bayangkan siluet yang bersayap, beralun dan bercerita.

Durrani memilih warna hitam sepenuhnya untuk koleksi demi-couture ini. Satu keputusan yang bukan sahaja berani, tetapi amat bijak.

Hitam itu klasik dan dalam tangannya, ia menjadi kanvas kepada eksplorasi tekstur.

Menggunakan teknik smocking dan quilting yang dicipta dengan motif-motif angsa yang tersirat, namun begitu mendalam.

Setiap helaian seperti membawa penceritaan tentang perubahan, keindahan dan kekuatan dalaman wanita.

Hitam bukanlah membosankan kerana jika digayakan dengan betul, ia mampu memberi impak luar biasa.

Durrani menunjukkan kepada kita yang bermain dengan tekstur dan lapisan mampu menghidupkan warna monoton ini.

Jadi jika dirimu, seperti saya, peminat rona gelap ini, berikut sedikit inspirasi cara menggayakannya.

Untuk tubuh curvy, pilih siluet yang menonjolkan lekuk badan seperti jaket peplum atau skirt potongan A berstruktur.

Teknik quilting boleh memberi definisi dan bentuk tanpa menambah volum yang tidak perlu.

Tambahkan jaket labuh bertekstur untuk kelihatan on-point.

Untuk tubuh petite, elakkan potongan terlalu besar. Pilih jaket cropped atau dress mini bertekstur dengan lapisan ringan.

Smocking boleh memberi efek visual yang menambah ketinggian dan perincian menarik tanpa membebankan.

Untuk yang bertubuh kurus, dirimu bebas bereksperimen.

Pilih potongan oversized atau lapiskan beberapa helaian hitam dengan tekstur berbeza seperti skirt quilting bersama kemeja organza atau vest smocked.

Mana-mana wanita yang sering merasakan tubuh mereka tidak cukup atau diejek gaya mereka terlalu pelik, koleksi ini adalah pelukan dan sorakan dalam satu nafas.

Ia berkata yang dirimu cukup, kamu cantik, dan kamu berhak untuk kelihatan bergaya, walaupun dengan rona hitam.

Durrani bukan sekadar the one to watch, dia adalah cerminan kepada generasi baharu yang berani menulis semula definisi kecantikan, satu jahitan demi satu jahitan.

Dan buat dirimu semua yang menatap koleksi ini dengan hati terbuka, mungkin sudah tiba masanya untukbertanya.

Jika angsa boleh bangkit dari tasik gelap dan terbang tinggi, kenapa tidak kita?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN