Sarjan mengaku tak bersalah terima rasuah RM1,000

Sarjan mengaku tak bersalah terima rasuah RM1,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sarjan Wan Shazrul Wan Shamsuddin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima RM1,000 daripada seorang individu sebagai dorongan menyerahkan dokumen berkaitan kes kemalangan jalan raya di sebuah restoran di Jalan Ismail, Mersing pada pukul 4 petang, 13 Disember 2023.

Dia yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu pejabat Polis Daerah Mersing didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd. Shukari memberitahu kesalahan itu merupakan kesalahan tidak boleh diikat jamin, tetapi mencadangkan RM10,000 jika mahkamah membenarkan jamin.

Peguam bela tertuduh, K. Bharathi memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh menanggung seorang isteri tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu pejabat SPRM Johor dan pasport diserah kepada mahkamah.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN