Sanggup ‘gadai’ tubuh demi langsai hutang

Sanggup ‘gadai’ tubuh demi langsai hutang

MANGSA tidak menyangka risiko pinjaman ah long menyebabkan dia hidup dalam ketakutan selepas diugut untuk membakar rumahnya kerana tidak dapat melangsaikan hutang.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gara-gara terjerat dengan pinjaman ah long, seorang wanita mengambil jalan singkat dan tunduk kepada tekanan ah long apabila terpaksa ‘menggadaikan’ tubuh sebagai bayaran untuk melangsaikan hutangnya.

Lebih memilukan, bayaran hutang itu hanya dikira selesai bagi jumlah faedah yang mencecah ribuan ringgit, namun pinjaman induk masih belum terhapus.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali Mira, 37, berkata, dia terjebak dengan ah long kerana tidak ada sumber pendapatan tetap kerana ditinggalkan suami dan hanya bergantung kepada penjualan nasi lemak.

“Saya pada mulanya meminjam RM4,500 daripada ah long untuk menyara seorang anak sekolah. Pendapatan jual nasi lemak tak seberapa.

“Saya tak sangka ah long menetapkan bunga sebanyak RM200 sehari tetapi sesuka hari menaikkan sehingga RM1,500 sehari sehingga hutang mencecah RM30,000,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mira antara mangsa yang diselamatkan Unit Banteras Along, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain dengan memberi bantuan perkhidmatan ‘berunding’ dengan ah long tanpa perlu membayar kaedah faedah pinjaman.

Seorang lagi mangsa, Ramli, 35, kehilangan ibu sekelip mata akibat serangan jantung selepas ah long datang menyerang ke rumahnya tanpa belas kasihan.

“Saya seorang tukang besi buat pinjam ah long sebanyak RM7,000 sebab mahu siapkan upah buat rumah. Disebabkan saya tak boleh bayar dalam masa ditetapkan, dia datang serang ke rumah.

“Ibu saya terkejut ketika ah long datang rumah cari saya dan terkena serangan jantung. Ibu meninggal dunia selepas bertarung nyawa di hospital,” katanya.

Seorang arkitek pula terpaksa menggadaikan rumahnya demi membayar hutang berjumlah RM170,000 yang tidak tertanggung.

Menurut pengakuan mangsa itu yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, dia terjebak dengan pinjaman ah long selepas perniagaan sampingannya pakaian terpakai merosot.

Keadaan kewangannya bertambah teruk ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 sekitar tahun 2021 apabila kerjayanya tidak dapat diteruskan, malah perniagaan turut ‘bungkus’.

“Saya cuba meminjam dengan kawan-kawan tetapi tak dapat. Jadi saya tak fikir panjang untuk pinjam dengan ah long kerana itu sahaja jalan yang ada.

“Saya dapat amaun yang besar kerana sebab guna slip gaji kerja arkitek. Bila dah terjebak saya tak mampu bayar sehingga saya meminjam dengan empat orang ah long dan lambakan hutang mencecah RM170,000,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Rashid, 53, memberitahu, akibat tekanan hidup kerana tiada sumber pendapatan mencukupi, dia mengambil keputusan untuk meminjam ah long demi kesenangan dua isterinya dan perbelanjaan anak-anak sekolah.

Katanya, isteri pertama sedang menderita sakit, manakala isteri kedua pula masih menanggung anak-anak yang masih kecil.

“Saya pinjam RM12,000 tetapi ah long minta sehingga RM25,000. Saya tak mampu bayar, ah long ugut dengan membaling cat merah di rumah,” katanya.

Seorang wanita peniaga kuih di Perlis pula tidak menyangka risiko pinjaman ah long menyebabkan dia hidup dalam ketakutan selepas diugut untuk membakar rumahnya kerana tidak dapat melangsaikan hutang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN