Sambutan luar biasa, Konsert Inteam dipindah ke lokasi, tarikh baharu - Utusan Malaysia

Sambutan luar biasa, Konsert Inteam dipindah ke lokasi, tarikh baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan sambutan luar biasa daripada peminat, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam bakal dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih besar di Idea Live Arena, di sini.

Konsert yang asalnya dijadualkan berlangsung pada 27 September depan itu turut dipindah ke 28 September 2025, bagi memberi laluan kepada urusan perpindahan lokasi.

“Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat. konsert dipindahkan ke lokasi yang lebih besar. Tiket habis dijual dalam masa yang singkat, kalau ikut statistik dalam 10 minit sahaja.

“Sebenarnya kami beberapa hari ini berbincang tentang penukaran lokasi dan bila sudah last minute, banyak lokasi yang sudah ditempah. Alhamdulillah, Idea Live Arena masih kosong tetapi harus dipindahkan tarikh.

“Memang ada cadangan awal untuk buat dua malam di lokasi sebelum ini tetapi disebabkan kekangan jadual, kami memuktamadkan dengan satu malam sahaja,” kata InTeam.

Sementara itu, konsert tersebut juga bakal menyaksikan penampilan khas dua anak Allahyarham Suhaimi Saad yang bakal mempersembahan satu segmen khas untuk bekas anggota kumpulan tersebut.

“Kami melihat mereka dari kecil dan tahu mereka mempunyai bakat nyanyian serta bermain alatan muzik. Jadi kami mahu mengetengahkan bakat mereka kepada umum.

“Kita juga tahu apa yang mereka lalui dan kami tampilkan mereka sebagai bayangan kepada Allahyarham ayah mereka yang pernah bersama kami dalam perjalanan seni 25 tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Inteam lagi, pihaknya memberi jaminan kepada pembeli tiket terdahulu bahawa tempat duduk mereka akan dipindahkan ke zon istimewa dan terhad di lokasi baharu.

“Pihak urus setia juga akan mengesahkan tempat duduk serta membuat pemakluman berkenaan dalam masa terdekat.

“Tambahan pula, pembeli awal akan menerima hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair,” katanya.

Untuk info, jualan tiket baharu akan dibuka mulai 14 Jun depan menerusi platform Ticket Empire dan boleh didapati melalui laman rasmi konsert di www.kasihkekasih.com.

Konsert istimewa ini bakal menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia termasuk segmen penghargaan khas kepada Allahyarham Suhaimi Saad.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN