Sahabat Maktab berazam santuni tetamu Allah

Sahabat Maktab berazam santuni tetamu Allah

MOHD. Hisham Harun (barisan kedua, tengah) bersama Sahabat Maktab yang dilantik di Abraj Al Tayseer di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Sepasang suami isteri berazam untuk menyantuni te­tamu Allah melalui Program Sahabat Maktab sepanjang musim haji 1446H/2025M, khususnya semasa operasi Masyair.

Menurut Leftenan Kolonel Jamal Sapri yang bertugas di Kementerian Pertahanan, dia bersyukur dipanggil menunaikan haji pada tahun ini dan mahu menggunakan peluang tersebut untuk membantu jemaah lain.

“Saya menjadi Sahabat Maktab 83A di bawah Abraj Al Tayseer sebagai sahabat sukarelawan. Perkara ini terdetik apabila tiba di Madinah pada 11 Mei lalu, saya terkesan melihat dua warga emas yang sakit kaki serta tersesat.

“Isteri saya meminta membantu dua jemaah lanjut usia tersebut, saya percaya golongan tersebut amat memerlukan khidmat daripada sukarelawan membantu mereka ziarah dan beribadah,” katanya ketika ditemui di Abraj Al Tayseer, baru-baru ini.

Katanya, dia berpengalaman dalam mengurus kerja-kerja sukarelawan melibatkan pegawai dan anggota dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, isteri Jamal, Dr. Salimah Othman, 52, yang terpilih menjadi Sahabat Maktab Medik ingin memastikan kesihatan jemaah haji, terutamanya warga emas terjaga khususnya ketika kemuncak ibadat itu di Arafah.

“Sebelum berwukuf di Arafah, saya mahu setiap jemaah menyusun bekalan ubat mereka secukupnya untuk enam hari, dengan jadual yang jelas seperti ubat pagi dan petang.

“Melalui usaha ini saya mahu jemaah menitikberatkan kesihatan diri agar kita kembali dengan kemabruran,” katanya.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, program ini memberi peluang kepada individu berkemahiran tampil secara sukarela membantu 610 petugas haji menyantuni jemaah warga emas, individu uzur serta mereka yang baharu tiba untuk menunaikan umrah pertama.

“Operasi Masyair merupakan satu fasa yang memerlukan kerjasama serta penglibatan ramai pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN