NEW YORK: Ahli kumpulan Blackpink, ROSÉ memperagakan busana khas yang direka oleh jenama fesyen terkenal YSL di acara Met Gala 2025, semalam.
Busana tersebut merupakan hasil kerjasama ROSÉ dan pengarah kreatif Saint Laurent, Anthony Vaccarello.
Berpakaian tuksedo hitam, dilengkapi jaket berkolar menonjolkan rantai nilam dan berlian Tiffany & Co disertai ‘ekor’ dramatik yang menutup seluar dan kasut tinggi merah berstrap, ROSÉ kelihatan bergaya pada acara itu.
Dalam pada itu, ROSÉ berkongsi keterujaannya sewaktu melihat rakan seperjuangannya turut hadir memeriahkan malam Met Gala itu’.
“Kali terakhir saya datang, saya datang seorang diri. Jadi saya sangat teruja untuk berjumpa dengan mereka.
“Saya baru sahaja bersama mereka di studio di Korea, jadi gembira sangat seperti bersama keluarga di sini,” katanya kepada hos karpet merah Vogue, La La Anthony.
Tambah ROSÉ, kumpulannya bakal mengeluarkan lagu terbaru dan akan menggunakan pendekatan yang berbeza dalam pengumuman jelajah penyatuan semula yang bakal berlangsung Julai ini.
Met Gala tahun ini membawa tema “Superfine: Tailoring Black Style,” yang diinspirasikan daripada buku Monica L. Miller tahun 2009 bertajuk Slaves to Fashion: Black Dandyism and the Styling of Black Diasporic Identity.
Menurut Vogue, kod pakaian rasmi tahun ini ialah “Tailored for You,” bertepatan dengan fokus pameran musim bunga 2025 terhadap fesyen lelaki dan bertujuan untuk memberi panduan serta ruang untuk tafsiran kreatif.
Met Gala 2025 turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal lain seperti Tyla, Usher, Rihanna dan ramai lagi. – UTUSAN