Rompak pengawal keselamatan, dua beradik dipenjara, sebat

Rompak pengawal keselamatan, dua beradik dipenjara, sebat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua beradik dipenjara 45 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merompak seorang lelaki warga India menggunakan pisau dan pemutar skru, dua tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Azmi Osman dan Mohd. Yusni Osman berusia 28 dan 42 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dalam niat bersama didapati melakukan rompak berkumpulan menggunakan pisau dan pemutar skru dengan mengambil wang tunai berjumlah RM900, kad bank, kad pengenalan dan lesen memandu India milik S. Surendhran.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.34 tengah hari di kawasan belakang sebuah kilang di Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Januari 2023.

Sabit kesalahan, kedua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah disebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mengikut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau dan pemutar skru ketika bertugas di kawasan belakang sebuah kilang.

Mangsa yang berasal dari India, kerugian RM900 termasuk kad bank, dokumen pengenalan diri dan lesen dilarikan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Chia Cheng Wee yang mewakili kedua tertuduh, merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf sepanjang ditahan di penjara sejak Januari 2023.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 45 bulan bermula dari tarikh tangkap pada Januari 2023 dan satu sebatan kepada setiap tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN