RM11 bilion dibelanja untuk perkukuh pertahanan negara

RM11 bilion dibelanja untuk perkukuh pertahanan negara

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Kementerian Pertahanan dan Boustech mengenai kerjasama strategik program komunikasi ATM di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak RM11 bilion dibelanja kerajaan bagi mengukuhkan sektor pertahanan negara melalui perjanjian yang dimeterai sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 96 perjanjian keseluruhan ditandatangani dan diserahkan merangkumi 85 surat setuju terima (SST) atau kontrak, dua surat niat (LOI) dan enam memorandum persefahaman (MoU).

Beliau berkata, perbelanjaan itu antaranya untuk perolehan aset strategik bagi pertahanan darat, maritim, udara, sekuriti siber dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, berlaku peningkatan sekitar RM1 bilion berbanding LIMA’23 yang mana edisi ke-16 itu menyaksikan 43 dokumen ditandatangani Kementerian Pertahanan yang bernilai RM10.1 bilion.

“Antara kontrak yang dipersetujui adalah penambahan dua unit Long Range Radar (LRR) di Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor bernilai RM277 juta serta 178 buah Light Anti-Tank Weapon Reloadable (LATW) – Short Range bernilai RM49 juta.

“Kerajaan turut bersetuju menawarkan kontrak membekal dan menghantar 780 butir Light Anti-Tank Weapon (LAW) C90 bernilai RM35 juta; 18 Mortar 81mm bernilai RM30 juta dan dua set pelancar Naval Strike Missile (NSM) bernilai RM44 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled bersama Timbalannya, Adly Zahari dan Panglima ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar menyaksikan Majlis Menandatangani dan Serahan Kontrak Perolehan, LOI dan MoU sempena LIMA’25.

Tambah beliau, kontrak lain dimeterai adalah membekal dan menghantar 1,300 butir Rounds 84mm Recoilless High Explosive (HE) bernilai RM42 juta; 5,000 unit Mortar Bomb 60mm Illuminating IR (RM34 juta); 1,900 unit Mortar Bomb 120mm HE (RM34 juta); 12 juta butir Rounds 5.56mm Ball (RM32 juta) dan 1,000 butir Rounds 125mm HEAT-SD-T (RM31 juta).

“Selain pembelian aset baharu, pemerkasaan ATM turut dilakukan dengan memastikan aset sentiasa dalam keadaan baik melalui peningkatan keupayaan aset sedia ada. Antara dimeterai termasuklah kontrak penyelenggaraan dan pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri bernilai RM1.02 bilion.

“Turut ditandatangani adalah kontrak perolehan perkhidmatan pengurusan keusangan KD Perdana bernilai RM48 juta; kontrak program pengekalan pesawat pejuang F/A-18D (RM187 juta); perolehan Stok Apungan Tambahan bagi Enjin TP400-D6 dan Low Pressure Turbine pesawat A400M (RM392 juta) dan kontrak Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Helikopter EC725 (RM378 juta),” katanya.

Ujar Mohamed Khaled, perolehan-perolehan yang dibuat bermatlamat antaranya untuk meningkatkan kesiagaan aset di tahap tertinggi bagi memperkukuh kedaulatan wilayah.

“Kedua untuk tingkatkan dorongan terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan; menangani ancaman bukan tradisional melalui pengukuhan keselamatan siber negara dan teknologi telekomunikasi serta mengutamakan pembangunan dan penyelidikan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu,” katanya.

Kata beliau, disamping perolehan aset, Kementerian Pertahanan turut memberi penekanan dalam aspek kesejahteraan warga ATM misalnya pembinaan baharu Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka yang bernilai RM320 juta.

Mohamed Khaled berkata, dua LOI yang dimeterai pula berjumlah RM2.68 bilion merangkumi permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) dan Infrastruktur bernilai RM1.88 bilion serta perolehan integrated logistic support dan trials aid Kapal Tempur Pesisir (LCS) berjumlah RM800 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN