KOTA TINGGI: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedang menyiapkan sembilan juta benih getah bagi menampung keperluan 15,000 hektar ladang getah yang terbiar.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, usaha itu menunjukkan tahap keseriusan pihak RISDA dalam menangani masalah ladang getah terbiar melalui inisiatif tanam semula.
Katanya, mengikut data yang diterima pada awalnya terdapat kira-kira 420,000 hektar ladang getah terbiar namun bancian terbaharu kini tinggal sekitar 200,000 hektar yang terbiar.
“Ladang getah terbiar ada dua perkara boleh dilakukan tetapi perlukan persetujuan tuan tanah. Bila cakap RISDA kita tidak boleh bayang sama macam Felda kerana tanah individu yang kita uruskan.
“Kaedah kedua di mana ladang lebih 25 tahun tebang dan tanam semula pokok. Setakat ini RISDA mampu untuk uruskan 15,000 hektar ladang setahun dan keseriusan kami dibuktikan dengan penyediaan benih.
“RISDA memang tengah berusaha sediakan sembilan juta benih untuk memenuhi keperluan 15,000 hektar ladang getah terbiar. Itu juga termasuk untuk buat kebun getah berkala besar estet getah, tanaman getah berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Tuisyen Rakyat RISDA Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Saujana di sini, semalam.
Terdahulu sebanyak 20 buah sekolah di Johor yang terbabit dengan program berkenaan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM250,000 dengan 100 orang tenaga pengajar yang dilatih bagi lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, RISDA tidak mempunyai masalah untuk membangunkan depoh getah berteknologi tinggi di Sabah seperti mana yang disarankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatannya ke negeri itu baru-baru ini.
Katanya, tujuan RISDA mewujudkan depoh adalah untuk menaikkan harga getah, di mana depoh teknologi tinggi mempunyai fungsi yang sama tetapi meringankan lagi beban dan mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dalam proses punggah, proses timbang serta proses memelihara kualiti getah. – UTUSAN