PETALING JAYA: Pelakon popular, Saharul Ridzwan meluahkan rasa syukur apabila berjaya membeli kereta yang lebih luas dan besar untuk keluarganya.
Menerusi satu video yang dimuatnaik di Instagram, Saharul menunjukkan keterujaannya selepas urusan pembelian kenderaan tersebut diselesaikan dengan mudah tanpa sebarang paksaan dan tekanan.
“Prosesnya sangat mudah dan tenang. Sahabat saya, Ali (jurujual) banyak membantu saya mendapatkan kereta ini mengikut kemampuan saya. Saya suka sebab tiada paksaan,” katanya.
Tambah Saharul, pembelian tersebut merupakan rezeki yang diperoleh daripada Allah kerana anak-anaknya.
“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Allah bagi rezeki-rezeki anak-anak. Terima kasih sangat, Ali,” katanya.
Terdahulu, pelakon Hati Perempuan itu menjual kereta Honda Jazz hadiah pemberiannya kepada isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir sempena ulang tahun perkahwinan tahun keempat.
Sebelum ini juga, pelakon lelaki itu mengambil keputusan untuk menjual beberapa aset miliknya seperti kereta Mercedes Benz dan kondominium yang terletak di Cyberjaya pada tahun lalu.
Untuk rekod, Saharul dan Deena mendirikan rumah tangga dengan Deena pada 16 September 2016.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Luth Ali, 8, Fateema Azzahra, 5 dan Khadijah Alkubra, 2.-UTUSAN