PEKAN: Demi ilmu, kira-kira 30 murid Orang Asli etnik Jakun dari sekitar Tasik Chini di sini perlu mengharungi tasik itu setiap hari, merentasi kabus dan riak air supaya dapat menjejakkan kaki dalam kelas.
Mereka yang berasal dari Kampung Puput, Cendahan dan Tanjung Samit akan menaiki bot disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) seawal pukul 7.30 pagi untuk tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini sebelum loceng pertama berbunyi.
Tok Batin Kampung Gumum, Jamaluddin Chot, 55, berkata, tiga kampung lain iaitu Kampung Gumum, Ulu Gumum dan Melai sudah mempunyai akses jalan darat, namun cabaran ke sekolah tetap memerlukan kesungguhan tinggi.
Katanya, pengorbanan anak-anak kecil itu bukan sekadar merentas tasik, tetapi simbol kesedaran baharu masyarakat Orang Asli terhadap pentingnya pendidikan dalam mengubah nasib dan maruah bangsa.
“Kami tidak mahu anak cucu ketinggalan. Mereka mesti berilmu untuk membina masa depan yang lebih baik dan menjaga tanah adat serta budaya kami dengan penuh hikmah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jeti Kampung Gumum.
Jamaluddin berkata, setiap murid yang menaiki bot diwajibkan memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga dengan perjalanan pergi dan balik ke sekolah memakan masa hampir satu jam.
Katanya, selain bot, ada juga ibu bapa yang menghantar anak mereka dengan motosikal manakala bagi pelajar sekolah menengah pula, van disediakan oleh Jakoa bagi memudahkan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai.
“Seramai 35 pelajar Orang Asli dari sini ke Paloh Hinai setiap hari. Kami bersyukur kerana ada bantuan pengangkutan. Kalau tidak, anak-anak susah hendak teruskan pelajaran,” katanya.
SK Tasik Chini yang terletak di tengah-tengah gugusan perkampungan Orang Asli kini diiktiraf sebagai sekolah cemerlang di bawah kendalian Jakoa.
Kejayaan sekolah itu bukan sahaja mencipta sejarah pendidikan Orang Asli, malah telah melahirkan barisan anak tempatan bergelar doktor, pensyarah, guru, akauntan, jururawat dan pelbagai profesion lain yang menjadi kebanggaan kampung halaman.
“Kita mahu lebih ramai anak muda Jakun yang berpendidikan tinggi kembali membangunkan kampung. Mereka ialah pewaris Tasik Chini yang perlu ada ilmu dan jati diri agar terus dipelihara,” katanya.
Kampung-kampung mengelilingi tasik itu dihuni kira-kira 1,000 penduduk suku Jakun yang kaya dengan warisan budaya, adat resam dan kehidupan harmoni. – UTUSAN