Remaja tunggang motosikal aksi ‘Superman’ antara tiga ditahan polis

Remaja tunggang motosikal aksi ‘Superman’ antara tiga ditahan polis

OPERASI Khas lalulintas yang dijalankan Polis Melaka sepanjang dua minggu yang berakhir selasa lalu mensasarkan kenderaan perdagangan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Aksi ala ‘Superman’ oleh seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal secara melulu di Jalan Tambak Paya di sini membawa padah apabila dia dicekup polis dalam operasi khas lalu lintas baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, Sabtu lalu, suspek berusia 13 tahun itu dikesan melakukan aksi meniarap di tempat duduk motosikal sambil menunggang laju dalam keadaan berbahaya, termasuk membuat pusingan U dan aksi zig-zag berdekatan Simpang Tiga Paya Dalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja itu antara individu yang ditahan sepanjang operasi khas selama dua minggu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka yang mensasarkan kenderaan perdagangan termasuk bas dan lori.

Menurutnya, remaja berkenaan ditahan semasa rondaan oleh anggota bertugas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menahan dua pemandu lori selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh dadah serta secara berbahaya dan kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 (mabuk), Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pengaruh dadah) dan Seksyen 42 APJ 1987 (pemanduan berbahaya).

“Kesemua yang ditahan berumur antara 41 hingga 47 tahun dan perbuatan ini amat berisiko kerana kenderaan berat seperti lori boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain jika dikendalikan dalam keadaan tidak sedar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 1,248 buah kenderaan perdagangan diperiksa dengan 700 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk 200 saman melibatkan lori.

“Sebanyak 18 buah lori turut ditimbang dan empat daripadanya disita kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan,” katanya.

“Polis akan terus mempergiatkan operasi secara berkala dan menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN