LUMUT: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Raja Hitam, Pantai Remis, dekat sini, ditemukan lemas pagi ini.
Mangsa, Shirley Ngu Siok Yee, 15, ditemui dalam keadaan terapung dekat tebing sungai itu pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa ditemui kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
“Mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changkat Keruing dan PBS Pantai Remis yang melakukan pencarian bersama menyusuri sungai tersebut pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, jasad mangsa dibawa ke Jeti menggunakan bot PBS seterusnya Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Hanafi Mohamed Rasid,
mengarahkan anggota membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi tujuan pengesahan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.45 pagi.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.32 malam mengenai kejadian tersebut yang berlaku di Kampung Tebing Luas, Pantai Remis, yang terletak di tebing Sungai Raja Hitam. – UTUSAN