Relevankah lagi program realiti? - Utusan Malaysia

Relevankah lagi program realiti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKLIP harus akui, program realiti sememangnya mempunyai peminat tersendiri. Jika tidak, masakan bersilih ganti program realiti yang merajai garis siaran stesen TV kita. Baik format baharu dan lama, masing-masing adakala ‘menjadi’.

Tetapi hakikatnya, adakah benar program realiti itu semua memberi impak kepada industri seni tanah air? Adakah kelahiran bakat baharu daripada program-program sebegitu mewarnai kanvas seni kita dengan indah?

Poklip agak ragu-ragu. Bukan apa, memang ada beberapa peserta realiti yang boleh dikatakan berjaya di ‘medan perang’ seni tetapi rasanya, lebih ramai yang kecundang. Akhirnya memilih kerjaya lain.

Sebab itu, Poklip bertanya, masih relevankah program realiti di kala ini? Melihatkan sambutan ‘sederhana’ terhadap beberapa program sebelum ini, Poklip merasakan jangka hayat rancangan TV sebegitu tidak bertahan lama.

Lihat sahaja apa jadi dengan sebuah program realiti yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM1juta ringgit. Hasilnya tidak seperti yang kita harapkan. Kalau hendak cakap pasal peserta, ramai yang bagus.

Tetapi apakah percaturan mereka selepas tamat program menjadi punca kegagalan mereka? Adakah sememangnya sukar untuk peserta rancangan realiti menempa nama walaupun sudah ada platform awal?

Usah bercakap tentang rancangan realiti berkonsepkan nyanyian. Ada sahaja program melibatkan bakat lain, stamina, lakonan dan pelbagai lagi, namun tetap ‘gagal’ dan tidak menjadi.

Malah, mungkin ada yang tidak diketahui umum selain daripada peminat yang juga tidak dinafikan terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, kalau sebut nama program pun mungkin terpina.

Jika mahu mengatakan media sosial ‘membunuh’ secara perlahan program realiti juga tidak mustahil, namun Poklip juga boleh menafikannya. Kalau itu adalah sebab, mengapa program realiti yang mengangkat pempengaruh popular juga tidak berjaya?

Apa sebenarnya peminat mahu? Adakah format sedia ada terlalu membosankan? Sudah terbiasa dengan drama murahan, penyingkiran dan elemen sedia ada yang bagi Poklip sudah boleh diagak?

Malah program baharu yang kini sedang ditayangkan di sebuah stesen juga barangkali bakal menerima nasib sama dengan rancangan lain. Peserta biasa-biasa, tiada aura atau x-factor untuk tarik tontonan.

Mahu mengulangi kejayaan Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan Mentor sebagai contoh itu sangat sukar. Namun mengapa Indonesian Idol masih ‘mendunia’ walaupun sudah memasuki usia 13 tahun.

Saban minggu ada sahaja kandungan yang tular, nyanyian luar biasa dan pesertanya punya aura yang menarik minat penonton. Maaf, ini bukan perbandingan tetapi pertanyaan, apa kunci kejayaan mereka?

Mungkin sudah tiba masanya produksi tempatan memikirkan cara terbaik untuk mengulangi kejayaan program realiti kita dahulu. Bukan lagi berharap kepada kehebatan nyanyian, lakonan tanpa melihat x-factor yang ada.

Atau mungkin, bukan bakat seperti itu yang didambakan. Mungkin rancangan realiti yang lebih ‘realiti’. Banyak sahaja program luar negara yang boleh menginspirasikan produksi tempatan. Tapi jangan ceduk bulat-bulat, malu.

Kita ada ramai bakat hebat tetapi tidak semua ada ‘magnet’ kejayaan itu. Iya, bergantung kepada rezeki.  Poklip berharap satu hari nanti, kita ada pendatang baharu yang mengulangi kejayaan artis hebat sedia ada.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN