Rasuah: Bekas Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili dipenjara 20 bulan

Rasuah: Bekas Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili dipenjara 20 bulan

MOHD. ZULFADLI Nayan dipenjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM10,000 lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Mohd. Zulfadli Nayan, 44, dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM10,000, lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh dan hukuman itu berkuat kuasa hari ini.

“Setelah mendengar dan menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpendapat tertuduh telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” katanya dalam penghakimannya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly memohon hukuman denda berbanding penjara dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 11 tahun.

Menurutnya, penjawat awam itu telah ditahan kerja sejak 23 Mei 2021 dan dia hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan membuat kerja pendawaian elektrik dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung permintaan pelanggan dan kesihatannya.

“Tertuduh ada sakit gout, migrain yang serius dan gastrik, dia mengambil ubat-ubatan secara berkala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong memohon hukuman setimpal bukan sahaja untuk kepentingan awam, malah sebagai bukti mahkamah mengecam perbuatan rasuah.

“Sebagai pegawai kanan Persekutuan, tertuduh perlu memastikan perundangan dilaksanakan dan keselamatan perairan terpelihara, tetapi dia bersetuju menerima RM10,000 daripada ejen kapal yang jelas bertentangan dengan tanggungjawabnya serta mencemarkan imej Maritim Malaysia,” katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Mohd. Fazaly Ali memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara memandangkan pihaknya akan menfailkan rayuan hari ini, namun mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan itu.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa di Ibu pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd. Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini, pada 10 malam, 2 Oktober 2020 supaya tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn. Bhd., yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.

Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN