'Ramai cakap nak bantu, tapi tiada yang tampil'

‘Ramai cakap nak bantu, tapi tiada yang tampil’

RUDI Zulkarnain Mat Radi didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kawan rapat kepada pemandu lori yang terlibat kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada Selasa lalu kesal kerana bayaran ikat jamin terhadap tertuduh yang tidak dijelaskan menjadi isu dan dikritik masyarakat dalam media sosial.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 63, berkata, kegagalan membayar ikat jamin terhadap pemandu lori, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45 sebanyak RM6,000 yang ditetapkan oleh mahkamah selepas pendakwaan pada Jumaat lalu bukan disebabkan majikan lepas tangan.

Katanya, sebaliknya ada beberapa sebab yang tidak dapat didedahkan untuk majikan menjelaskan ikat jamin selepas pemandu lori tersebut didakwa.

“Mudah sahaja orang bercakap di sana sini fasal bayaran ikat jamin yang tidak dibayar tetapi perkara sebenar mereka tidak tahu.

“Saya dengar ramai yang nak bantu, hendak menghulurkan sumbangan untuk jelaskan bayaran ikat jamin tapi cakap kosong sahaja tak guna kalau tak tampil membantu.

“Siapa yang tampil, dialah yang benar-benar nak membantu tapi buat masa sekarang belum ada yang tampil membantu selain daripada majikannya sendiri.

“Majikannya yang akan menjelaskan bayaran ikat jamin, dalam pukul 9 pagi esok (hari ini) akan bayar ikat jamin dan insya-Allah boleh keluar (dari tahanan lokap),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketiadaan pihak menjelaskan bayaran ikat jamin terhadap pemandu lori yang terlibat kemalangan dengan trak FRU di Teluk Intan pada 13 Mei lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk sokongan terhadap pemandu lori tersebut yang kini ditahan dilokap selepas gagal membayar wang jaminan.

Ramai netizen di media sosial tampil menyatakan hasrat untuk membantu membayar wang jaminan pemandu terbabit agar dia dapat dibebaskan kerana mereka berpendapat tertuduh tidak bersalah sepenuhnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN