KOTA BHARU: “Ini bukan kes tiada lesen motor. Negara rugi berbilion ringgit kerana orang seperti kamu. Rakyat bayar cukai, kamu seleweng.”
Itu kata Hakim Zulkifli Abdullah sebelum menjatuhkan hukuman denda RM10,000 masing-masing ke atas seorang pemandu lori dan seorang penganggur selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan lebih 1,600 liter diesel tanpa kebenaran, dua tahun lalu.
Zulkifli berkata, kesalahan berkenaan amat serius kerana menyebabkan kerugian besar kepada negara.
Kedua-dua tertuduh, Mohamad Aiman Mohd. Din, 31, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Mohd. Amiruddin Ramly, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Aiman didakwa memiliki sebanyak 832.5 liter diesel tanpa lesen sah sekali gus melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Perbuatan itu dilakukan di depan pejabat sebuah hospital di Kubang Kerian di sini kira pukul 12.45 tengah hari pada 6 September 2023.
Sementara itu, Mohd. Amiruddin dituduh memiliki 780.5 liter diesel tanpa kebenaran di tepi Jalan Semerak, Kampung Dalam Rhu dekat Pasir Puteh pada 26 Julai 2023. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. – UTUSAN