Raja Perlis beri teguran keras pada penjawat awam pentingkan diri

Raja Perlis beri teguran keras pada penjawat awam pentingkan diri

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli pada Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 baginda di Istana Arau, Perlis, semalam. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur segelintir penjawat awam yang mementingkan diri dan tidak mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat, seterus­nya memberi amaran keras agar mereka segera menukar cara kerja atau ditukarkan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh merosakkan nama negeri, malah baginda sebelum ini turut me­nerima banyak maklumat selain pengalaman mengenai cara kerja penjawat awam tertentu yang tidak memuaskan dan mengabaikan amanah tersebut.

Titah baginda, terdapat penjawat awam pentingkan diri dan tidak mengutamakan rakyat selain berkira waktu kerja dan sukar untuk minta tolong.

“Patut tukar cara kerja, sikap segelintir inilah yang akan merosakkan penjawat awam. Perkara seperti ini tidak patut berlaku dalam kalangan penjawat awam. Tukar perangai ikut contoh yang baik oleh sahabat tuan-tuan yang baik, orang yang terlibat itu faham maksud saya. Saya nak Perlis maju seperti negeri lain.

“Perlis memerlukan jentera pentadbiran cekap dan berintegriti untuk memastikan kemajuan negeri berjalan lancar dan dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat selain boleh membawa pembangunan negeri. Perbetul­kan waktu bekerja, orang terlibat ini sikit tapi merosakkan nama negeri.

“Tukar segera cara kerja sebelum ditukarkan,” titah Tuanku Syed Sirajuddin bersempena Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-82 di Istana Arau, di sini semalam.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan negeri dan rakyat yang telah menjayakan sambutan Jubli Perak pemerintahan pada 17 April lalu, serta segala program sempena sambutan berkenaan.

“Sambutan hari keputeraan beta bukan sekadar acara simbolik, tetapi merupakan detik untuk kita sama-sama menilai dan merenung pencapaian serta cabaran yang telah kita hadapi bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyatakan keyakinan terhadap perkembangan sektor industri di negeri ini, khususnya melalui pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) dan pelaburan di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Titah baginda, Pelabuhan Sanglang juga menjadi pelengkap kepada usaha menjadikan Perlis hab pengangkutan kargo darat dan laut.

Selain itu, baginda turut menekankan mengenai kepenti­ngan kestabilan moral dan keharmonian sosial berasaskan nilai-nilai agama dan budaya masyarakat berbilang kaum.

“Beta menyeru semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.

“Elemen negatif yang mengganggu keharmonian perlu ditolak sebulat suara, sebaliknya budaya saling memahami dan menghormati perlu digalakkan di semua peringkat masyarakat. Saya juga ingin menasihati rak­yat agar bersiap siaga dengan sebarang perubahan mendatang dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan iklim dunia yang semakin tidak menentu,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN