LIPIS: Jika ke Kuala Lipis tidak sah sekiranya tidak berkunjung dan bergambar dengan batu tanda kosong (0) yang menjadi mercu tanda bersejarah di daerah ini yang terletak berdekatan Pejabat Pos Kuala Lipis.
Batu kilometer (KM) 0 itu dipercayai menjadi pusat bagi Semenanjung jika diukur dari satu sudut Garis Pusat.
Menurut satu catatan lain, Jabatan Ukur Dan Pemetaan mengesahkan batu kosong ialah Sistem Pengesanan Global (GPS) yang merupakan batu tanda pengukuran digunakan oleh jabatan berkenaan.
Sumber lain pula mengatakan, Residen British Pahang ketika itu, Sir Hugh Clifford mengarahkan supaya semua pengukuran jarak lokasi di Tanah Melayu hendaklah bermula di Kuala Lipis dan beliau juga memutuskan bahawa Kuala Lipis adalah pusat Tanah Melayu. Namun kesahihan kisah tersebut tidak dapat dipastikan.
Mengikut sejarah pada zaman pentadbiran British sebelum kemerdekaan, batu itu digunakan sebagai titik rujukan utama untuk mengukur jarak bagi penghantaran surat dan telegram ke daerah lain di Tanah Melayu.

Difahamkan, Batu 0 KM ini terletak bersebelahan Pejabat Pos Kuala Lipis untuk dijadikan panduan yang mana penetapannya berdasarkan lokasi pejabat pos.
Ia bagi memudahkan penghantaran surat dan dikira dari 0 Batu atau KM sekali gus ia menjadi ukuran permulaan jarak tempat standard ke bandar-bandar lain di negeri Pahang suatu masa dahulu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim berkata, batu penanda 0 KM ini didirikan di Bandar Kuala Lipis ketika bandar ini menjadi ibu negeri Pahang pertama (1898-1955).
Katanya, batu penanda ini adalah titik permulaan sukatan jarak jalan raya dari Kuala Lipis ke daerah-daerah lain di Pahang.
“Walaupun di daerah lain ada juga batu penanda namun Batu 0 KM di Kuala Lipis ini dilihat cukup istimewa kerana ia wujud sejak zaman dahulu ketika daerah Lipis diiktiraf ibu negeri Pahang.
“Batu ikonik ini juga menjadi simbolik kepada sejarah Kuala Lipis yang suatu masa dahulu pernah menjadi titik permulaan kemajuan di Pahang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Hafizi yang juga Pegawai Daerah Lipis berkata, usaha menaik taraf batu penanda itu dilaksanakan bagi menjadikan ia salah satu tumpuan pengunjung yang datang ke daerah ini.
Katanya, terdapat satu papan informasi didirikan di sebelah batu penanda KM 0 Kuala Lipis bagi menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada para pelancong.
“Lagi satu tarikan baharu di sini adalah papan arah negeri-negeri berdekatan yang mana jarak dikira dari Kuala Lipis ke negeri-negeri yang tertera.
“Sebagai contoh Kuantan 242km, Selangor 176km, Kelantan 283km dan Melaka 308km. Kami juga menarik taraf batu 0 KM, beberapa bangunan bersejarah dan persekitaran bandar Lipis dengan kos mencecah hampir RM400,000. Ini bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong itu kekal bersih, indah dan bercahaya serta pembangunan yang terancang di samping mengekalkan warisan sejarah,” katanya.
Seorang pengunjung, Fairus Mohd.,41, berkata, batu 0KM menjadi lokasi ‘wajib’ untuk bergambar di Bandar Kuala Lipis sama ada sebagai kenangan atau sebagai bukti sudah sampai atau sedang berada di daerah ini.
“Kuala Lipis cukup sinonim dengan kampung halaman penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan di sini juga ada satu lagi rekod iaitu Batu 0 KM yang sering menjadi buah mulut orang luar.
“Tidak semua bandar di Malaysia mempunyai Batu 0 KM, sekiranya berkunjung ke daerah Lipis jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini,” katanya. – UTUSAN









