SERI KEMBANGAN: Penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia untuk meletakkan jawatannya dalam Kabinet jika gagal mempertahan jawatannya dalam pemilihan PKR pada 24 Mei ini.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau akan mempunyai lebih masa selain bebas bersuara dalam pelbagai isu.
“Kalau saya kalah saya letak jawatan dan jadi ahli parlimen biasa, saya bersyukur kerana ada hikmah beberapa perkara. Saya tidak dibebankan dengan tugas menjadi menteri.
“(Pertama) teruk (susah) tahu jadi menteri. Banyak tanggungjawab, tidak terbuat. Yang kedua saya lagi gembira, mulut dan tangan saya tidak terikat.
“Sebelum ini saya anggota pentadbiran. Kalau saya tidak setuju pun, contohnya seperti Tan Sri Azam Baki dilantik semula (sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM), saya tidak boleh sebut secara terbuka sebab saya anggota pentadbiran.
“Ia akan melanggar etika kerana keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi saya terpaksa tutup mulut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri? di Dewan Majlis Bandaraya Serdang Jaya, malam ini.-UTUSAN