PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera mengenalpasti kelemahan-kelemahan sistem pemilihan digital yang dibangkitkan di peringkat cabang tidak berulang menjelang pemilihan 24 Mei ini.
Rafizi berkata, JPP bertanggungjawab memastikan proses pemilihan pusat termasuk keabsahan dan kemampuan teknikal sistem berjalan dengan lancar untuk mengelakkan kontroversi berpanjangan selepas pemilihan pusat selesai.
“Antaranya mengesahkan jumlah Kata Laluan Satu Kali (OTP) yang dikeluarkan berbanding dengan jumlah eKYC, undi di pelayan S3 dan undi akhir yang direkodkan di ‘blockchain’, untuk mengenal pasti berapa banyak undi yang tercicir akibat kelemahan sistem;
“Selain itu, melindungi versi kod asal yang dimuat naik di pelayan awan, memastikan versi yang betul dan sama digunakan sepanjang proses pemilihan, menyemak keseluruhan kod asal bagi setiap versi yang dimuat naik untuk memastikan tidak ada kod berbeza yang memproses pengundian.
“Pada masa sama, melindungi dan mengawal muat naik kod asal dengan menyemak log muat naik sebelum, semasa dan selepas proses pengundian, bagi memastikan integriti sistem terjamin serta isu-isu teknikal lain yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan, sepanjang tempoh bercuti dari 29 April hingga 5 Mei, beliau telah mengadakan pelbagai pertemuan dan membawa isu-isu berbangkit mengenai pemilihan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Jelasnya, MPP bertarikh 29 April lalu, bersetuju supaya satu audit bebas dijalankan untuk memastikan sistem pemilihan digital bebas dari campur tangan yang mempengaruhi keputusan akhir di peringkat cabang.
“Laporan juru audit bebas ini dibentangkan di dalam MPP bertarikh 4 Mei lalu, seperti di dalam Lampiran A. Berdasarkan laporan ini, MPP menerima gesaan Presiden supaya keputusan di peringkat cabang disahkan walaupun ada aduan-aduan berbangkit, agar parti boleh bergerak ke hadapan dan pemilihan peringkat pusat dapat diteruskan.
“Semasa audit bebas itu berjalan, seperti mana persetujuan MPP bertarikh 29 April lalu, calon-calon yang membuat aduan boleh melantik wakil teknikal mereka untuk turut serta sebagai pemerhati semasa proses audit,” katanya.
Rafizi turut menyertakan laporan wakil teknikal yang dilantik calon mengenai keseluruhan proses audit di Lampiran B.
“Justeru, atas prinsip ketelusan kepada semua anggota parti, saya percaya kedua-dua pandangan dari laporan-laporan ini boleh memberi konteks keseluruhan kepada pelbagai isu yang timbul.
“Walau apa pun kesimpulan yang dibuat, saya menyeru supaya anggota-anggota parti menerima saranan untuk merapatkan saf dan memberi tumpuan mengukuhkan parti,” katanya. – UTUSAN