Rafizi dedah kebimbangan Nurul Izzah: Kepemimpinan baharu

Rafizi dedah kebimbangan Nurul Izzah: Kepemimpinan baharu akan menyusahkan Presiden, PKR

PKR
MOHD. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Nurul Izzah Anwar pernah menyatakan kebimbangan bahawa barisan kepemimpinan selepas pemilihan kali ini bakal menimbulkan masalah kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti.

Mohd. Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, perkara itu dinyatakan Nurul Izzah ketika pertemuan mereka pada Selasa lalu.

Katanya, kenyataan itu dikeluarkan Nurul Izzah untuk merayu bantuannya selepas tamat pemilihan pada Kongres Nasional PKR, kali ini.

“Dalam pertemuan itu, Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya, namun saya nyatakan di awal perjumpaan, saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.

“Alasan yang diberi ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti. Beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MOHD. Rafizi Ramli dan Anwar Ibrahim berbual semasa Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Johor.

Semalam, Nurul Izzah menewaskan Mohd. Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu.

Anak sulung Anwar itu meraih 9,803 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa tepat pukul 10 malam dalam Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Tambah Mohd. Rafizi, jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan sedemikian, sepatutnya beliau tidak bersekongkol untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

“Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan yang pada pandangan saya tidak menggambarkan reformasi politik dibawa PKR.

“Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mendapatkan jawatan, bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti. Saya konsisten menolak mereka.

“Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama. Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan ini secara terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN