KUALA LUMPUR: Keghairahan sebuah pusat hiburan ala Bollywood yang menampilkan tarian berahi oleh wanita warga asing berakhir apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam Op Gegar di sekitar Jalan Dang Wangi, di sini tengah malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, seramai 10 individu termasuk pelanggan dan pekerja warga asing diberkas, sekali gus membongkar kegiatan tidak bermoral yang dipercayai beroperasi secara eksklusif untuk pelanggan dari negara Asia Selatan.
Turut ditahan seorang individu dipercayai bertindak sebagai pengatur kepada aktiviti hiburan tidak bermoral di premis tersebut.
Hasil pemerhatian mendapati premis berkenaan dikawal ketat oleh seorang pengawal keselamatan di pintu masuk dan hanya membenarkan individu tertentu memasuki ruang utama.
Difahamkan, pelanggan perlu menukar wang tunai kepada ‘mata wang khas’ yang disediakan premis tersebut bagi tujuan ‘menabur’ kepada penari wanita sebagai tanda penghargaan ketika persembahan berlangsung.
Tarian ghairah itu dipercayai dipersembahkan oleh wanita warga Nepal, Bangladesh dan Pakistan berusia dalam lingkungan 20-an.
Mata wang khas itu pula diperoleh melalui kaedah memasukkan wang ke dalam kotak khas yang disediakan dalam premis terbabit.
Lebih mencurigakan, premis itu hanya membenarkan pelanggan dari Asia Selatan memasuki kelab berkenaan, manakala individu daripada bangsa lain hanya dibenarkan masuk sekiranya ditemani rakan dari negara terbabit.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff sementara itu berkata, operasi berkenaan turut melibatkan serbuan ke atas tiga buah premis makanan di kawasan sama.
“Kami telah memeriksa seramai 60 individu terdiri daripada 40 lelaki, 18 wanita dan dua kanak-kanak lelaki. Hasil pemeriksaan kedua-dua operasi terbabit, seramai 35 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Menurut beliau, tangkapan melibatkan 24 lelaki, sembilan wanita dan dua kanak-kanak.
“Antara warga asing yang ditahan ialah warga Indonesia, Thailand, India, Pakistan dan Bangladesh. Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita semasa operasi berkenaan. – UTUSAN