Pulau Pinang giat tarik pelabur, kurangkan kebergantungan AS

Pulau Pinang giat tarik pelabur, kurangkan kebergantungan AS

CHOW Kon Yeow ketika sesi soalan lisan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi menarik pelaburan baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat (AS) susulan tarif 24 peratus yang dikenakan oleh AS ke atas produk Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu penting bagi memastikan daya saing ekonomi negeri terus kukuh dan tidak terlalu terdedah kepada risiko geopolitik serta dasar perdagangan yang berubah-ubah.

“Trump (Donald Trump) sebenarnya mahu bawa balik kilang-kilang yang berada di luar negara balik ke AS. Maka, sebab itulah dia kenakan tarif yang tinggi agar kilang-kilang yang ada di sini akan ditutup dan pindah balik ke AS. 

“Disebabkan itu, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada satu pasaran sahaja. Kerajaan negeri melalui Invest Penang sentiasa menjalankan misi pelaburan ke negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China, Singapura serta Eropah bagi menarik pelabur baharu dan membuka pasaran baharu,” katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan daripada Gooi Hsiao Leong (PKR-Bukit Tengah) mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi menghadapi kesan kenaikan tarif AS semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Kon Yeow, Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN yang lain mungkin menghadapi rundingan yang kurang tegang dengan AS berbanding pengalaman yang dilalui oleh China.

Namun, katanya, ASEAN termasuk Malaysia perlu bersedia menerima tarif asas sebanyak 10 peratus dan mempertimbangkan untuk membuat konsesi bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan. 

“Umumnya, gencatan tarif sementara ini telah meningkatkan prospek pertumbuhan ekonomi negara, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi disemak semula ke arah yang lebih positif,” kata Kon Yeow.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggantungan tarif selama 90 hari antara AS dan China tidak mungkin membawa kepada perjanjian jangka panjang. 

“Tarif yang tinggi ini dijangka berterusan, sekaligus mengukuhkan keperluan untuk kepelbagaian rantaian bekalan. 

“Bagaimanapun, kedudukan geografi Malaysia yang strategik, kos buruh yang kompetitif serta kadar pertukaran (wang asing) yang menggalakkan akan terus menjadikan negara ini pilihan menarik bagi syarikat multinasional (MNC) untuk mempelbagaikan operasi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN