Pulau Pinang giat kempen promosi durian

Pulau Pinang giat kempen promosi durian

WONG Hon Wai (tengah) ketika pelancaran kempen durian di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri kini sedang giat mempromosikan kempen menikmati durian tempatan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang serta Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, promosi tersebut bersempena kedatangan musim ‘raja buah’ itu yang bermula bulan ini hingga Ogos depan.

Beliau berkata, selain mengadakan promosi dalam negeri, kerajaan negeri turut menggiatkan kempen berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Setiap tahun, memang kita akan mempromosikan durian secara besar-besaran terutamanya di negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN, China dan Hong Kong kerana populasinya yang agak besar.

“Untuk tahun ini pula, promosi tersebut diperluaskan ke beberapa negara lagi termasuk India dan Timur Tengah (Asia Barat) memandangkan ada penerbangan terus dari negara tersebut ke Pulau Pinang.

“Berdasarkan tinjauan yang kita buat, kebanyakan pengunjung bukan sahaja ingin menikmati durian, tetapi juga ingin menikmati suasana yang tenang ketika menjamah buah-buhan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mempromosikan durian, semalam.

Ketika ini, kawasan utama pengeluaran durian di Pulau Pinang ialah di Balik Pulau dan Teluk Bahang (sebelah pulau) manakala di Seberang Perai pula, lokasi tumpuan ialah di Sungai Bakap serta Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, antara langkah yang diambil oleh pihak hotel bagi membantu merancakkan promosi tersebut ialah menyediakan pakej makan durian di tepi-tepi pantai atau di dusun-dusun dengan kerjasama pemilik kebun durian.

Beliau berkata, secara umumnya, harga yang ditawarkan secara pakej itu jauh lebih murah berbanding harga biasa, namun, ia bergantung kepada jenis pakej yang ditawarkan oleh pihak hotel kepada pelanggan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN