PruBSN dinobat pengendali takaful terbaik selama 12 tahun - Utusan Malaysia

PruBSN dinobat pengendali takaful terbaik selama 12 tahun

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, menerima anugerah daripada Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri apabila diumumkan sebagai Pengendali Takaful Keluarga Terbaik bagi tahun ke-12 berturut-turut di Anugerah Takaful Star 2025 anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Pengiktirafan berprestij ini membuktikan komitmen jitu syarikat dalam memperluas akses perlindungan berlandaskan prinsip Syariah kepada seluruh lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada tahun 2006.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam menawarkan penyelesaian perlindungan yang menyeluruh dan mampu milik meskipun berdepan cabaran ekonomi.

“Kita telah menyaksikan peningkatan mendadak dalam inflasi dan kos penjagaan kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan inflasi tuntutan perubatan meningkat sekitar 16 peratus setiap tahun antara 2021 hingga 2023.

“Walaupun berdepan cabaran ini, kami tetap komited untuk menawarkan penyelesaian perlindungan berkualiti yang mencapai keseimbangan antara kemampuan dan perlindungan menyeluruh.

“Melalui pendidikan berterusan, kami memastikan pelanggan diberi kuasa untuk membuat keputusan yang bijak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sepanjang tahun 2024, PruBSN telah membayar tuntutan berjumlah RM1.2 bilion merangkumi pelbagai jenis perlindungan, satu bukti nyata terhadap kesungguhan syarikat menunaikan janji kepada pelanggannya.

“Salah satu aspek yang membezakan PruBSN ialah komitmen kami terhadap semangat ta’awun atau tolong-menolong.

“Melalui program seperti Microtakaful Jariyah, kami menawarkan perlindungan percuma kepada ketua keluarga dalam segmen B40 kerana kami percaya bahawa penjagaan kesihatan bukan keistimewaan, tetapi hak untuk semua,” katanya.

Sehingga kini, lebih 188,000 individu telah menerima manfaat perlindungan daripada inisiatif itu dengan hampir RM5 juta dibayar dalam bentuk tuntutan.

Perkhidmatan Dipacu Nilai dan Inovasi

Mengangkat slogan “Anda Adalah Inspirasi Kami”, PruBSN kekal fokus kepada pendekatan berpusatkan pelanggan melalui pelbagai produk inovatif seperti AnugerahMax, Asas360, Crisis TotalCare dan Health360 yang direka khusus bagi menangani keperluan kesihatan serta kewangan rakyat Malaysia yang semakin kompleks.

Dalam pada itu, kejayaan PruBSN turut diiktiraf di peringkat serantau apabila syarikat meraih anugerah Produk Takaful Baharu Terbaik di Insurance Asia Awards 2024, serta Anugerah Pengalaman Perkhidmatan Terbaik di Asian Experience Awards 2024.

Diterajui oleh lebih 16,000 Perunding Takaful di seluruh negara, PruBSN kekal teguh memperkasakan lebih dua juta rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka melalui perlindungan yang mampan dan berasaskan nilai.

“Kami akan terus berada di sisi pelanggan dalam apa jua keadaan, melindungi setiap kehidupan, demi setiap masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN