PUTRAJAYA: Projek mega Grid Tenaga ASEAN menghubungkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura adalah kejayaan paling signifikan bagi ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu dilihat pencapaian paling signifikan Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata, kejayaan itu bukan sekadar pengumuman retorik tetapi telah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan program dan projek, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara.
“Kita bukan sekadar membuat pengumuman yang mengagumkan mengenai projek besar ini sebaliknya ia diterjemah dalam bentuk kerjasama dan usaha diplomatik.
“Tetapi kali ini kita berjaya melaksanakannya melalui program dan projek yang berkesan, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara untuk tenaga alternatif di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Minh Chinh menyaksikan pertukaran tiga dokumen bagi memperkukuh kerjasama Malaysia-Vietnam khususnya dalam sektor tenaga, pendidikan dan integrasi serantau ASEAN.
Dokumen pertama membabitkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Vietnam Electricity (EVN) yang memberi fokus kepada kerjasama dalam Grid Tenaga ASEAN serta pembangunan keupayaan strategik.
TNB diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, manakala EVN diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nguyen Anh Tuan.
Sementara itu, MoU kedua membabitkan Surat Hasrat kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Vietnam National University Ho Chi Minh City di mana UKM diwakili oleh Pemangku Naib Canselor, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gapor manakala pihak Vietnam diwakili oleh Naib Canselor, Prof Madya Nguyen Minh Tam.
Manakala dokumen ketiga pula, melibatkan Surat Hasrat antara UKM dan Vietnam National University, Hanoi yang memfokus kepada kerjasama strategik dan integrasi serantau dalam konteks ASEAN.
UKM diwakili oleh Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Sufian Jusoh, manakala pihak Vietnam diwakili oleh Naib Presiden universiti berkenaan, Prof Madya Dr Pham Bao Son.
Pertukaran dokumen ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuhkan hubungan dua hala serta menyumbang kepada pembangunan serantau yang mampan dan inklusif. – UTUSAN