KUALA LUMPUR: Inisiatif buku madani yang berjaya menerbitkan lebih 125 naskah sejak Julai tahun lalu akan diteruskan sekiranya mendapat pendanaan yang mencukupi.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, Projek Penerbitan Buku Pena Madani telah berjaya menghimpunkan lebih 100 penulis, termasuk editor, pereka grafik, dan ilustrator dalam suatu usaha penerbitan berskala besar.
“Pertemuan ini adalah pertama kali diadakan secara fizikal kerana sebelum ini kami hanya berhubung secara atas talian dan ia memberikan rasa kebersamaaan dan menunjukkan bahawa projek ini adalah milik bersama,” katanya.
Menurut beliau, sejak inisiatif dimulakan pada Julai tahun lalu, sebanyak 439 manuskrip telah diterima, namun hanya 125 dipilih untuk diterbitkan selepas melalui proses penilaian ketat melibatkan panel dan jawatankuasa khas penerbitan.
“Kami mahu pastikan karya yang diterbitkan benar-benar berkualiti. Ada yang ditolak kerana mutu tidak menepati piawaian atau tidak sesuai untuk terbitan,” katanya.
Tambahnya, projek ini turut memberi manfaat besar kepada penulis apabila mereka menerima royalti tanpa perlu menunggu jualan buku, selain tempoh penerbitan yang lebih cepat kurang setahun bagi setiap judul.
“Kebanyakan buku boleh siap dalam tempoh empat hingga lima bulan, bergantung kepada keadaan manuskrip. Ini jauh lebih pantas berbanding proses biasa yang mengambil masa dua hingga tiga tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saleeh berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan dana t sebanyak Rm10 juta kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan program.
“Kami amat berharap permohonan dana pusingan kedua ini diluluskan. Penulis semakin ramai, tetapi mereka sukar mendapat akses kepada penerbit konvensional. Projek ini menjadi platform alternatif yang pantas dan berkesan,” katanya.
Sebelum ini, PENA menerima dana sebanyak RM2.5 juta, separuh daripada jumlah yang dipohon bagi fasa pertama iaitu RM5 juta.
Sementara itu, Pengarah Projek Penerbitan Buku Madani, Mohd Khair Ngadiron berharap penulis akan lebih menghasilkan penulisan yang berkualiti dan kreatif.
“Saranan saya kepada penulis agar sentiasa memperbaiki kemahiran penulisan melalui bengkel, seminar, atau kerjasama dengan penulis lain.
“Saya berharap agar penulis menulis karya berasaskan nilai, sejarah, dan budaya tempatan untuk menonjolkan identiti Malaysia,” katanya. – UTUSAN