PETALING JAYA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi satu hantaran di Facebook, selepas beliau dan Prabowo mengadakan perbincangan ringkas melalui panggilan telefon semalam.
Menurut Anwar, perbualan mereka menyentuh pelbagai isu termasuk usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Saya dan Presiden Prabowo percaya hubungan erat ini mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat. Kami turut menyentuh persiapan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini,” katanya.
Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
Pada 2023, jumlah dagangan dua hala mencecah RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) manakala bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan meningkat kepada RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) bagi tempoh sama tahun sebelumnya. – UTUSAN