ppk-kuala-langat-sasar-jual-2000-lembu-untuk-ibadah-korban

PPK Kuala Langat sasar jual 2,000 lembu untuk ibadah korban

DR. ABDUL RAZAK Khasbullah (kiri) ketika meninjau ladang ternakan lembu milik Muhammad Faiz (kanan) di Pulau Nyatoh, Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menyasarkan jualan lembu korban sebanyak 2,000 ekor menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menurut Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran tersebut berdasarkan rekod jualan tahun lepas.

“Seperti tahun sebelum ini, kita menyasarkan jualan lembu tempatan sebanyak 1,800 hingga 2,000 ekor akan dipasarkan untuk ibadah korban.

“Kita mempunyai 10 orang penternak yang mampu menampung permintaan khususnya untuk umat Islam di Lembah Klang terutama di Selangor,” katanya ketika meninjau ladang ternakan milik Muhammad Faiz Harol Isam di Pulau Nyatoh, di sini semalam.

Dr. Abdul Razak berkata, walaupun berlaku peningkatan kos makanan haiwan, namun harga lembu yang dipasarkan masih dikekalkan bermula daripada RM5,000 ke atas mengikut saiz.

“Sambutan amat menggalakkan daripada pembeli dalam kalangan jawatankuasa masjid, syarikat korporat dan individu.

“Apa yang membanggakan majoriti pembeli yang membuat tempahan adalah pembeli yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Ia disumbang oleh faktor kualiti ternakan yang baik dan perkhidmatan sembelihan untuk kemudahan pembeli,” katanya.

Mengulas mengenai khidmat penyembelihan, Dr. Abdul Razak berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan tersebut di dua pusat penyembelihan di Pulau Nyatoh milik penternak Muhammad Faiz, 32, dan Saipol Azimir, 38, di Kampung Endah dekat sini.

Katanya, bagi khidmat itu, caj sebanyak RM500 akan dikenakan oleh pemilik pusat penyembelihan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN