BACHOK: Seorang lelaki yang bekerja di sebuah kilang getah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian simbah asid terhadap pemilik spa dan salon di Beris Kubur Besar di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaludin berkata, lelaki berusia 45 tahun itu merupakan kenalan kepada suspek pertama yang ditahan di Kuala Krai, kira-kira pukul 4 petang semalam.
Katanya, suspek ditahan di sebuah kilang getah oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Bachok selepas hasil soal siasat terhadap suspek pertama.
“Kita menahan suspek selepas 24 jam penangkapan seorang wanita yang berusia 38 tahun petang kelmarin,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
Utusan Malaysia semalam, melaporkan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan kejadian menyimbah asid terhadap wanita berkenaan. – UTUSAN