IPOH: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular seorang lelaki bertindak agresif mengasari pekerjanya dalam kejadian di Taman Rishah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 24 tahun.
“Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa mendakwa berlaku salah faham selepas dia membuka surat atas nama majikannya.
“Suspek yang berang kemudiannya menolak komputer riba yang sedang digunakan mangsa hingga terkena muka wanita itu. Mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan mengenai insiden itu dibuat mangsa pada pukul 2.10 petang, Khamis lalu.
Katanya, keterangan beberapa saksi yang berada di tempat kejadian telah dirakam bagi membantu siasatan.
“Identiti suspek telah dikenal pasti dan tindakan susulan akan diambil terhadapnya mengikut prosedur undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Zainal Abidin turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan video dan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan selain bimbang mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 39 saat, memaparkan seorang lelaki yang kelihatan memarahi seorang wanita sebelum menepis komputer riba hingga terkena muka mangsa. – UTUSAN