KUALA TERENGGANU: Dua buah premis di Hulu Terengganu dan Marang dekat sini, diserbu polis setelah disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang kripto bitcoin, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, serbuan pertama dengan kerjasama pasukan juruteknik SEAL Team daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan di Lot 7158, Tingkat Atas, Batu 18, Bukit Perpat, Ajil, Hulu Terengganu pada pukul 1.45 petang.
Katanya, hasil pemantauan selama 30 minit mendapati premis tersebut tidak berpenghuni, sebelum tindakan memotong mangga pintu dilakukan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan Bitcoin, termasuk 21 mesin bertanda ‘Avalon Miner’, tiga unit agihan arus elektrik, satu unit pemutus litar bersama agihan yang disambung secara haram kepada sumber bekalan elektrik TNB.
“Tiada tangkapan dibuat dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairi berkata, serbuan kedua pula dijalankan di premis tidak berpenghuni di Wakaf Tapai, Marang, yang turut menemukan 24 mesin ‘Avalon Miner’.
Semua barang rampasan dibawa ke IPD Marang untuk tindakan lanjut. – UTUSAN