ALOR SETAR: Tindakan berani dua lelaki menaiki pikap sambil membawa bagasi ketika mahu melepasi pemeriksaan di sempadan Bukit Kayu Hitam, dekat sini kecundang apabila mereka ditangkap bersama 45.5 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM1.6 juta.
Lelaki tempatan berusia 29 tahun yang disyaki sebagai transporter bersama lelaki Thailand berumur lingkungan 50-an itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dua bagasi ditemukan di ruang barangan kenderaan jenis Isuzu Dmax yang bernombor pendaftaran Thailand itu ketika pemeriksaan dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Pemeriksaan kedua-dua bagasi itu membawa kepada penemuan 80 peket plastik lutsinar yang berisi daun-daun kering disyaki bunga ganja seberat 45.5 kilogram (kg).
“Harga pasaran bunga ganja di Thailand mencecah 100,000 baht bagi setiap kilogram, manakala di Malaysia bernilai RM36,000 sekilogram. Maka nilai keseluruhan rampasan kali ini dianggarkan berjumlah lebih RM1.6 juta,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Fisol berkata, rampasan bunga ganja terbabit pertama kali dilakukan pihaknya dan merupakan kes kedua di negara ini selepas tangkapan pertama dilakukan oleh JSJN Bukit Aman, sebelum ini.
Tambah beliau, suspek warga tempatan mengakui telah beberapa kali membawa dadah dari Thailand ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok, Kelantan.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai penghantar kargo dan memiliki rekod lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 turut mendedahkan dia dibayar antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran yang dilakukan selama ini.
“Dia juga positif methamphetamine dan kita percaya rampasan ini untuk edaran dan pasaran di Lembah Klang dan Johor. Jumlah rampasan ini boleh digunakan seramai 30,000 orang sekiranya terlepas ke pasaran,” ujarnya.
Ujar Fisol, suspek warga Thailand yang merupakan pemandu teksi di Pekan Danok, Thailand pula negatif ujian air kencing dan tiada sebarang rekod lampau.
Katanya, kedua-dua suspek terbabit kini direman selama seminggu sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A).
“Maklumat berkaitan kes ini telah disalurkan kepada JSJN Johor untuk mengesan dalang sindiket pengedaran terbabit dan dimaklumkan satu tangkapan melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 30 dan 38 tahun dilakukan hari ini. Mereka juga akan dibawa ke Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN