KUALA LUMPUR: Polis akan mempertingkatkan operasi kenderaan berat khususnya lori menerusi Op Perdagangan dalam usaha mengurangkan kesalahan melebihi muatan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi berkenaan sudah dilakukan secara berkala membabitkan kenderaan berat seperti lori, pengangkutan awam seperti bas.
“Kita jalankan operasi yang baik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pemandu-pemandu ini mematuhi peraturan undang-undang jalan raya.
“Operasi ini bagi memastikan kenderaan yang mereka bawa seperti lori, bas dan sebagainya berada dalam keadaan yang baik, sempurna, teknikalnya pun bagus, yang boleh berada di atas jalan raya dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut berhubung nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Mohd. Yusri berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes terbabit.
Menurutnya, pemandu lori yang membawa muatan batu, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45, telah dituduh dan mahkamah memutuskan untuk sebutan semula kes.
“Pihak JSPT telah melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu dan kertas siasatan sudah dibawa ke mahkamah malah pemandu juga telah dituduh.
“Kita serahkan kepada mahkamah dan sekarang ini, mahkamah sudah beri jaminan kepada tertuduh, perbicaraan akan berlangsung secara berkala,” katanya.
Sebelum ini, pemandu lori muatan yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota FRU pada Selalu lalu dibebaskan daripada tahanan lokap hari ini.
Rudi Zulkarnain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Perak terhadap sembilan pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin dilaporkan berkata, majikan pemandu itu telah membayar wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, pagi tadi. – UTUSAN