SEREMBAN: Polis menumpaskan sindiket pelaburan dalam talian, kumpulan “Ah Kit” dalam serbuan di sekitar Taman Bukit Kepayang di sini, pada 27 April lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), hasil maklumat risikan.
Beliau berkata, hasil serbuan seramai sembilan individu termasuk seorang perempuan warganegara berusia 21 hingga 35 tahun, telah ditahan.
“Turut dirampas 33 unit telefon bimbit, sembilan unit komputer riba, tujuh buah kereta dan 14 buah buku nota skrip. Siasatan mendapati, sindiket telah beroperasi sejak awal Januari lalu dan menggunakan sebuah rumah sewa sebagai “calling centre”.
“Lokasi ini akan bertindak bagi aktiviti pelaburan dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi sembang “tantan”, “tinder”, “telegram” dan “facebook” dengan menyasarkan rakyat negara jiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, sindiket menawarkan gaji sebanyak RN3,000 untuk pekerja “calling centre” dan menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai hostel dan pejabat operasi.
Katanya, tugas ahli sindiket mendapatkan mangsa untuk melabur dalam pelaburan skim pelaburan syarikat palsu menggunakan nama-nama syarikat terkenal.
“Bagi menarik perhatian mangsa, keuntungan yang tinggi ditawarkan. Setelah pelaburan dibuat, pelbagai alasan diberikan sindiket bagi mengelak bayaran keuntungan sehingga mangsa tidak lagi dapat menghubungi pihak sindiket.
“Walaupun sindiket ini tidak melibatkan rakyat tempatan khususnya di Negeri Sembilan, orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha dan bersusah payah,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman empat hari bermula 28 April lalu dan siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan. – UTUSAN