Polis nafi pemandu lori dibebaskan dengan jaminan - Utusan Malaysia

Polis nafi pemandu lori dibebaskan dengan jaminan

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dakwaan mengatakan pemandu lori muatan batu yang terbabit kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu telah dibebaskan dengan jaminan adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, masih ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

“Setakat ini, dia masih berada dalam lokap IPD Hilir Perak. Difahamkan, ada rakannya yang mahu membayar ikat jamin.

“Mungkin esok kerana proses jamin dan urusan keluar masuk OKT (orang kena tuduh) ini hanya boleh dilakukan pada waktu bekerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Bakri, sekiranya tiada jaminan yang diterima oleh pihak mahkamah, tertuduh akan dihantar menjalani reman penjara di Pusat Koreksional Batu Gajah.

“Tertuduh akan menjalani reman penjara sehingga kes disebut semula pada 17 Jun ini,” katanya.

Jumaat lalu di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.

Turut terkorban, Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesemua pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN