PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan pertengkaran membabitkan pempengaruh wanita dengan isteri baharu bekas suaminya di Taman Melawati dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu sedang dilengkapkan.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang pempengaruh wanita cuba menaiki tingkat atas rumah bekas suaminya tanpa kebenaran mencetuskan pergelutan dengan isteri baharu lelaki itu di Taman Melawati, di sini, Isnin lalu.
Mohd. Azam dilaporkan berkata, lelaki itu menetapkan syarat bekas isteri hanya berada di tingkat bawah dan tidak naik ke tingkat satu dan dua.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang ketika wanita tersebut datang ke kediaman bekas suaminya yang juga pempengaruh untuk mengambil barangan peribadi selepas dipersetujui bersama.
“Bagaimanapun isteri baharu lelaki itu cuba menghalang dan berlaku pergelutan. Kedua-dua wanita mendakwa mereka cedera ringan ringan akibat kejadian itu,” katanya.- UTUSAN