ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya merampas sebanyak 14,050 pelbagai jenis komponen motosikal yang diubah suai tidak mengikut spesifikasi seperti ekzos dan swing arm sepanjang tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintenden Abdel Nasser S. Salleh berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,235 komponen dilupuskan setelah memperoleh arahan mengikut peruntukan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Hari ini kita melupuskan 1,199 komponen lagi melibatkan 597 ekzos, swing arm (411), karburator (19), ECU (3) dan lain-lain (169). Selebihnya komponen yang disita masih menunggu keputusan mahkamah.
“Polis sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak membahayakan diri atau mengganggu ketenteraman awam dengan mengubahsuai motosikal tanpa mengikut piawaian ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdel Nasser menjelaskan bahawa, pihaknya mengesan tiga daerah di negeri ini mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu di Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim.
“Bagaimanapun trend ubah suai motosikal dilihat semakin menurun tahun ini kerana daripada sitaan secara purata hanya 80 komponen sehari berbanding 100 komponen pada tahun lepas. Ia dipercayai hasil daripada operasi dan penguatkuasaan yang sering kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pemilik motosikal ubah suai tersebut menggunakan alasan untuk meningkatkan prestasi kenderaan mereka selain dipercayai bertujuan untuk berlumba.
“Gejala samseng jalanan atau mat rempit ini juga dipandang serius dan polis sering memantau terutama di hotspot seperti di Pokok Sena dan Alor Setar. Kita lihat aktiviti tersebut juga berkurangan sejak kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN