GEORGE TOWN: Polis kini sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri pakaian dalam wanita di sebuah pangsapuri berhampiran Jalan Dr. Wu Lien Teh di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ia susulan penularan satu rakaman video di TikTok mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Terdahulu katanya, satu laporan polis mengenai kejadian yang sama juga telah dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun, kira-kira pukul 10.14 pagi, Jumaat lalu.
“Siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 23 Mei lalu (Jumaat) kira-kira pukul 4.24 pagi.
“Menurut pengadu, suspek telah mencuri dua pakaian dalam milik anak perempuannya yang disidai di balkoni mengadap ke kaki lima di pangsapuri berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan ketika ini, polis masih memburu suspek yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Abdul Rozak, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta supaya tampil ke depan bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, SM Nabil Fikri Abd. Rahman di talian, 016-4446590. – UTUSAN