PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian tokoh pejuang keadilan dan keamanan, Datuk Rasammah Bhupalan pagi tadi.
Katanya, pemergiaan mendiang itu sangat memberi kesan kepadannya dan keluarga kerana mendiang sering memberikan semangat, di samping menjadi kekuatan dalam mengangkat suara dan hak-hak golongan wanita.
“Secara peribadi, saya mengenang sosok ini sebagai seorang yang tidak hanya berdiri teguh untuk keadilan, tetapi juga sebagai seorang yang dekat dan mendukung saya sedari awal.
“Di era gelap 1998, beliau antara suara yang memberi sinar dan menjadi sumber kekuatan kepada saya dan keluarga. Pemergiannya pasti meninggalkan bekas yang mendalam tidak hanya kepada saya secara peribadi, malah kepada negara dan rakyat juga.
“Saya ucap takziah kepada keluarga mendiang Datuk Rasamah Bhupalan atas pemergiannya. Semoga legasinya dihayati oleh semua terutama dalam usaha dan upaya kita mengangkat suara dan hak kaum wanita sebaiknya,” katanya menerusi akaun Facebook, hari ini .
Menurut Anwar, mendiang mendiang adalah seorang pejuang dan tokoh yang secara teguh dan konsisten dalam isu-isu mengenai keadilan dan kesetaraan gender selain keamanan.
Kata beliau, legasi yang ditinggalkan sudah tentu akan membekas serta memberi inspirasi besar kepada perjuangan kaum wanita di Malaysia, selain pernah mencurahkan bakti sebagai guru di Methodist Girls’ School Penang.
“Dalam lembaran sejarah, nama beliau terukir sebagai insan yang tegas memperjuangkan hak wanita, termasuk mempersada prinsip ‘gaji yang munasabah untuk kerja yang setara’, yang merupakan antara perjuangannya yang dinikmati generasi hari ini meski terlupakan,” ujarnya. – UTUSAN










