PETALING JAYA: Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Sultan Brunei yang dimasukkan ke institut tersebut akibat keletihan.
Menurutnya, baginda stabil dan berada dalam keadaan baik tetapi masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan.
“Ketika ini, baginda ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
“Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semoga Baginda Tuanku dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah dimasukkan ke IJN selepas mengadu keletihan dan mengambil keputusan untuk berehat di sana.
Disebabkan itu, baginda juga tidak kelihatan dan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China termasuk Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Dalam pada itu, PMO berkata, pihak perubatan menasihatkan agar Sultan Brunei untuk tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini.
“Kecuali daripada keluarga Diraja Brunei sahaja, demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,” katanya. – UTUSAN