PM Laos lawat Malaysia esok, bincang pelbagai isu dua hala

PM Laos lawat Malaysia esok, bincang pelbagai isu dua hala

SONEXAY SIPHANDONE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia esok dalam usaha mengukuhkan kemajuan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Lawatan ini adalah pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Ketua Kerajaan pada Disember 2022.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, menerusi kunjungan rasmi itu, Sonexay Siphandone akan diiringi isteri, Vandara Siphandone serta menteri dan pegawai kanan kerajaan Laos.

“Sonexay Siphandone akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat dua hala.

“Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan hubungan dua hala sedia ada khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan selain pertahanan, pendidikan dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan turut melibatkan isu pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal,” katanya hari ini.

Kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan secara menyeluruh mengenai perkembangan serantau dan global.

Kata Wisma Putra, penekanan juga diberikan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai sebuah platform yang padu dan responsif dalam menangani isu-isu bersama, terutamanya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang berkembang.

“Lawatan rasmi ini yang diadakan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Laos,” katanya.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Laos mencatatkan sebanyak RM99.7 juta dengan eksport bernilai RM67.8 juta dan import berjumlah RM31.9 juta.

Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar Laos dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$942 juta merangkumi 46 projek

berdaftar yang tertumpu kepada sektor seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik serta telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN