PM akhirnya faham apa yang BN buat dahulu - Muhamad Akmal - Utusan Malaysia

PM akhirnya faham apa yang BN buat dahulu – Muhamad Akmal

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mempertahankan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan bahawa lantikan politik oleh sesebuah kerajaan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tambun itu kerana akhirnya beliau memahami tindakan sama yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

“Alhamdulillah. Terima kasih Perdana Menteri akhirnya memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Anwar menegaskan lantikan politik dilakukan sesebuah kerajaan dengan mengangkat individu yang berkelayakan seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Kata beliau, ia merupakan ‘balasan’ selayaknya diterima individu terlibat atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti politik yang menjadi kerajaan kerana terdapat ramai yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan itu.

“Saya teringat, seorang individu dikenali sebagai Pak Kudus di Tanjung Karang. Dia antara individu terawal menyokong saya ketika dipecat dahulu berbekalkan pencen RM1,800 sebulan.

“Ada pensyarah akademik, ada doktor pakar yang hilang kerja, kehabisan ratusan ribu ringgit tetapi tidak pernah minta balasan, sebaliknya menghabiskan sisa hidup secara sederhana sahaja.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak, sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN